Ahad, 29 Jun 2008

Pengorbanan Abah&Mak

Aku amat beruntung kerana memiliki Abah.Aku rasa keluarga kami yang paling beruntung sekali terutama Mak yang memiliki suami setabah 'pendaki' gunung Everest.Sepanjang hidup bersama Abah,memang aku akui bahawa Abah terlalu banyak berkorban untuk anak-anaknya.Walau pun ada anak-anak yang tidak malu memohon pertolongan ketika 'ribut' datang ekonomi melanda keluarga masing-masing.Seharusnya anak-anak malu kerana sudah sampai masanya membantu abah yang besar pengorbanannya.Dan seharusnya anak-anaklah yang memberikan kasih-sayang berlipat kali ganda dari kasih sayang yang abah berikan selama ini.Ini tidak, semuanya seolah-olah mengambil kesempatan dari kelemahan abah yang terlalu terbuka mengenai soal kasih sayang terhadap anak-anak.Bila susah sahaja mulalah mencari abah seumpama abah itu 'Bank' untuk mereka.

16 orang anak... terlalu sukar membayangkan kesukaran abah dan mak meladeni setiap olah anak-anaknya.Saban tahun ada sahaja bunyi tangisan bayi merengek itu dan ini.Mungkin bagi mak dan Abah bunyi tangisan,rengekan kami adik beradik bagai satu irama yang mengasyikkan kerana tidakkah budak yang belum akil balikh itu sentiasa dimuliakan Allah?!.
Setelah Abah pencen dari menjadi 'warder' di Penjara Sungai Besi Kuala Lumpur, Abah pulang kekampung di Muar Johor sebagai satu tempat permastautin kami adik beradik.Abang dan kakakku sudah ramai yang mendirikan rumahtangga bersama pasangan masing-masing.Tinggalah anak-anak Abah yang ke 10 hinggalah yang ke 16 mengharungi alam persekolahan.Di tambah aku yang mula memasuki alam persekolahan di awalan tahun 1978 sementara adikku bersekolah 'tadika kemas' ketika itu.

Aku tak dapat membayangkan mak yang berwajah bujur sireh bersama uban yang memutih di kepala serta tampak jaluran-jaluran urat di tangannya cukup tabah melahirkan anak seramai 16 orang serta mendidik anak-anaknya agar menjadi insan yang sempurna dikemudian hari.Berbohonglah aku, jika mak tidak melalui saat-saat keperitan didalam melayani anak-anaknya dengan rahman dan rahim.Kerana sudah tentulah perwatakkan anak-anaknya berlainan antara mereka.Dan Mak haruslah membahagi-bahagikan kasih sayang itu sebaik yang mungkin agar anak-anak dibelai sama rasa.

Dan ketika Kak Long bersama Abg Long dengan kedegilan, aku dapat merasakan mak terlalu amat kecewa.
dan sejak krisis itu berlaku bertahun lamanya, aku akui mak terluka yang amat dalam.
Di tambah selepas itu krisis keluarga yang meruncing.. namun mak tetap tabah melalui kesukaran itu dengan hati yang tenang.Namun aku akui mak sudah cukup luka yang amat dalam.

Abg Zul yang muda belia sudah mahu menarik joran dan menyatakan bahawa umpan sudah mengena.Gadis pilihannya adalah gadis Kuala Klawang N.Sembilan.Mak menentang keras pilihan Abg Zul bukan kerana menyisihkan maruah si gadis, tetapi hanya kerana anaknya itu masih muda belia tanpa pekerjaan.Tapi Abg Zul terlalu pekat darah bugisnya, mengenepikan nasihat orang tua yang berpengalaman dalam hidup lalu menyusul kerumah gadis dan menyatakan diri sebagai 'anak angkat' merisik tanpa adat lalu menetapkan tarikh pernikahan sendirian. Mak akhirnya akur dengan permintaan si anak,Abah bertungkus lumus mencari duit hanya untuk mencapaikan tujuan si anak agar bernikah bagi mengelakkan maksiat berlaku.
Ahh!! kenapa anak-anak sering leka pada diri sendiri.Mereka ingat bahawa Abah dan Mak orang kaya gamaknya, sedangkan pada hakikatnya hidup sederhana.Mungkin Abah kaya dengan Tanah yang berekar-ekar namun itu semua akan menjadi hampa jika anak-anak sendiri tidak mahu usahakannya.Dan kekayaan Abah itu cukup 'sekangkang kera' buat anak-anak memilikinya apabila sampai waktunya kelak.

Memang Mak sudah lama terluka akibat olah yang dilakukan anak-anak terutama abg zul yang tidak sedar-sedar hingga kini.Terlalu besar pengorbanan Abah dan Mak, sehinggakan Abah menjual seekar tanah hanya untuk membawa semua anak-anaknya menjejaki Tanah Haram di bumi Anbia.
Lantas aku menjejaki Tanah Haram di Mekah bersama beberapa orang adik beradikku pada tahun 1994.
Seorang Abah yang sanggup menjual tanah hanya kerana mahu mengenalkan Mekah dan Madinah buat anak-anaknya.Kini semua anak-anak Abah dan Mak sudah menjejaki tanah bertuah itu.OOOhhh.. Abah.. kaulah seorang lelaki yang menggamit-gamit naluriku untuk lebih menjadi seperti engkau.

Dan apabila tahun 2003, Abah menghembuskan nafas yang terakhir, aku bagaikan patah sayap kananku.Gelak ketawa abah yang garau.. sendagurau dan sering berjenaka selamba denganku menggamit memoriku kini.
Nasihat Abah... Marah Abah... Terasa Abah memang sudah lali dengan diriku.Semasa hidupnya, dia tidak pernah memukulku kecuali ketika darjah satu..itu hanyalah sekali. Dan aku kini rasa terlalu rugi kerana tidak mendapat pukulan darinya sedangkan aku adalah budak yang nakal.Selalunya tanpa memukul pun Abah sudah boleh hadirkan rasa gerun kepada kami adik beradik hanya dengan kerlingan matanya.. hahahaha.Itulah kelebihan mendapat seorang Abah yang tua dan kaya dengan ilmu dunia dan akhirat.Petah mengutarakan pendapat politiknya.Rakus berhujah dan mengembangkan idea yang bernas tanpa sedikit menggugat emosi si pendengar.
Nantilah aku ceritakan tentang Abah ketika saat-saat pemergiannya.

Abah keturunan Bugis.Ayahnya seorang Syeikh yang menguruskan urusan pemergian Haji pada penghujung tahun 1800 dan awal tahun 1900.Pernah satu ketika tangan abah tangan keramat.Ada satu cerita di kawasan Melaka.
Aku tidak tahu dimana tapi ada satu warong berdekatan perkuburan pahlawan Bugis.Hujan renyai-renyai di tengah hari.Hujan panas agaknya.Abah berada di warong tersebut bersama rakan-rakanya.
"Kat kubur tu ada kubur seorang Pahlawan Bugis.Batu Nesannya dah tersenget.Ramai orang mau membetulkannya tapi tidak mampu berbuat apa-apa.Mungkin kubur itu kubur keramat.Orang yang mengganggunya pasti demam panas lalu mati dalam beberapa minggu.Atau orang tersebut di panah petir.Jadi tiada siapa yang berani mengusik batu nesan itu.Tinggallah ia didalam keadaan senget." jelas tauke warong pada Abah.
"Semua berlaku kebetulan sahaja tu.." bidas Abah.Tauke Warong terasa disindir.
"ye.. mungkin kebetulan." Tauke warong mengalah lalu beredar untuk membuat air permintaan pelangganya yang lain.
Abah bangun lalu ke tanah perkuburan tersebut walau hujan renyai-renyai.Abah pergi menuju ke batu Nesan pahlawan bugis lalu membetulkan keadaan batu nesan itu dengan amat mudah sekali.Dan Abah membaca Al Fatehah buat si mati dengan ikhlas.
Para pelanggan serta Tauke Warong melihat keberanian Abah lalu melaungkan nasihat agar jangan cari pasal.
"Biarlah dia yang buat sebab dia adalah salah seorang keturunan Bugis.." salah seorang orang tua yang berada di dalam warong bersuara.
Mereka yang lain pandang memandang antara satu sama lain dan akhirnya akur bahawa Abah mestilah salah seorang dari keturunan pahlawan tersebut kerana tiada kejadian apa-apa yang berlaku.

Ooooh.. Abah!! aku amat merinduimu disaat ini.Aku rindu dengan bicara politikmu.Aku rindu dengan luahanmu terhadap UMNO yang telah lari dari cabang nilainya.Aku Rindu saat-saat kau menghambur pujian pada Nik Aziz sedangkan kau adalah seorang pejuang UMNO ketika zaman mudamu.Aku lelah bila kau menyesakkan fikiranku tentang Dr Mahathir yang rakus dengan kemodenan.Ahhhh!! aku amat merindui mu ketika kau berbicara bab tauhid dengan ku.Bermuzakarah ilmu denganku.Walau pun kau telah tua menjangkau usia 80-an ketika itu, kau tetap menghormati pendapatku mengenai ilmu tauhid.. ilmu makrifatullah. Oooohhh Abahhhhh... sejak kehilanganmu.. aku bagaikan hilang teduh.Namun aku harus akur bahawa yang hidup itu pasti akan mati jua.
Al Fatehah buatMu Ayahanda yang tercinta.Aku berjanji akan menjaga permaisurimu dikampung.Aku akui permaisuri hatimu itu masih lagi mengingatimu dengn seikhlas hati kerana dialah isteri yang paling terbaik buatmu wahai ayahandaku.Walau pun kau telah pergi hampir 6 tahun.. aku dapat merasai seolah-olah kau sentiasa di sampingku.Dan aku berterima kasih kerana kau sempat membimbingku kejalan yang di rhedoi oleh Allah.Alhamdulillah.. semoga Abah akan ditempatkan di makam terpuji bersama-sama Rasulullah.

Tiada ulasan:

Bila kalam berbicara ;

"Mata yang melihat namun buta penglihatannya, Telinga yang mendengar tapi tuli sebenarnya, Mulut yang berkalam mengapa bisu untuk berbicara.Inilah dia tradisi manusia yang mudah lupa asal usulnya dan tenggelam didalam kenikmatan yang sementara.." - DaengYH.

AlQuran

Listen to Quran